Pelakon filem Di Ambang Misteri, Zamarul Hisyam kembali bergelar suami kepada aktres Diana Rafar, 33, selepas mereka melakukan pengesahan lafaz rujuk hari ini di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Lafaz tersebut dilakukan oleh pelakon yang berusia 44 tahun ini pada 14 Februari lepas pada pukul 11.30 malam. Pada ketika itu, pasangan ini masih dalam tempoh edah.
Pengesahan tersebut telah diakui sah oleh Hakim Syarie, Mohd Hisyam Zakaria dan kes berkenaan adalah mengikut Seksyen 61, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2013.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Zamarul meluahkan rasa syukur kerana semuanya selesai dengan baik dan jodoh mereka masih utuh untuk kembali mengemudi bahtera rumah tangga.
Zamarul dan adik kepada aktres Linda Rafar ini telah bernikah pada 16 Mei 2009 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan dikurnikakan seorang putera yang bernama Kashfi Haikal, 5 tahun.
Semoga ikatan yang dibina semula oleh Zamarul dan Diana berkekalan sehingga ke hujung nyawa. Tahniah! - murai
ADS HERE !!!